Pages

Saturday, January 30, 2016

Sabar Dalam Menghadapi Bala


بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

"Kesusahan dan kesulitan laksana musim dingin yang basah, lembap serta tidak disukai insan. Tetapi,... sesudah musim sejuk itulah tumbuhnya bunga-bunga yang harum dan buah-buahan yang subur."

Tiada yang ditelan manusia yang lebih disukai oleh Allah selain daripada 2 perkara, iaitu menelan (menahan) marah dengan kesabaran, dan menelan musibah dengan kesabaran juga. Dan tidak ada titisan yang lebih disukai oleh Allah daripada 2 titisan, iaitu titisan darah dalam memperjuangkan agama Allah dan titisan air mata pada malam yang gelap sambil sujud serta tidak ada yang mengetahui kecuali Allah. Dan tidak ada langkah yang disukai Allah daripada 2 langkah, iaitu langkah menuju sembahyang fardhu dan langkah untuk menyambung silaturahim. Itulah pesan Rasulullah SAW menurut Aban bin Shalih daripada Umar daripada Anas bin Malik RA.

Tajuk post Syilah kali ini "Sabar Dalam Menghadapi Bala" dari kitab Tanbihul Ghafilin.

Apabila kita rasa susah, rasa sempit dengan segala derita, bandingkan kesusahan itu dengan kesusahan yang bakal kita hadapi di akhirat kelak. Derita di dunia ini tiada apa-apa jika dibanding dengan akhirat. Sesungguhnya kesusahan di dunia ini kecil sahaja. Selepas hujan, cerah kembali. Selepas mendung, mentari akan muncul kembali. Semuanya akan hilang dan tidak kekal. Tetapi, di akhirat kelak tiada yang sebegitu.

Di padang mashyar kelak, ada 3 mahkamah yang akan mengadili hamba-hambaNya. Mahkamah satu untuk orang kafir. Di sini dibincangkan azab-azab yang bakal mereka terima. Azab yang paling ringan adalah dipakaikan terompah neraka, lalu mendidihlah kepala mereka. Mahkamah kedua untuk orang Islam yang berdosa dengan makhluk. Siapa yang menyakiti orang lain semasa hidupnya akan diadili di sini. Walaupun sebesar zarah akan diperhitungkan. Dan mahkamah ketiga untuk orang yang berdosa dengan Allah.

Sesungguhnya kemenangan itu disertai dengan kesabaran. Kita tidak boleh mengeluh dengan ujian Allah kerana hal ini umpama kita tidak redha dengan kesusahan yang Allah beri. Jika kita mengaku beriman dengan Allah, kita mengaku bahawa kita cinta kepada Allah, mana buktinya? Ibaratnya, jika tiba-tiba kamu ditampar oleh seseorang dalam keadaan yang gelap gelita. Ketika itu kamu terasa sakit dan marah sekali, rasa mahu sahaja ditampar kembali orang itu. Kemudian, apabila lampu dibuka, rupa-rupanya yang tampar kita itulah kekasih kita. Marah atau tidak?

Ha, begitulah. Apabila kita tahu rupa-rupanya kekasih kita yang tampar, terus tidak jadi marah. Walaupun terasa sakitnya, kalau boleh ingin suruh dia tampar lagi sekali? Betul tak? Huhu ^^

Begitulah ibaratnya cinta kita kepada Allah. Jika kita benar kasihkan Dia, cintakan Dia, kenapa harus marah apabila Dia beri kita ujian? Kenapa harus bersedih apabila Dia datangkan musibah yang membuatkan hati kita terasa sakit? Bukankah kita perlu bersyukur? Itu tandanya Allah masih sayangkan kita. Dia beri kita ujian kerana Dia mahu kita lebih dekat denganNya. Kerana lumrah manusia ini hanya mencari Allah apabila susah, tetapi apabila senang, terus lupakan Allah.

Moga dalam hati kita selalu ada perasaan sabar itu. Gunakanlah hati untuk berbicara dengan Allah. Berzikir dan ingatlah pada Dia selalu. Sepatah kita sebut perkataan subhanallah, sebesar Gunung Uhud ganjaran yang Allah beri.Itu belum lagi kalimah laa ilaha illallah. Kalimah itu andai ditimbang, ia lebih berat daripada bumi dan segala isinya ini.

Subhanallah.

No comments:

Copyright© All Rights Reserved sitisyilah.blogspot.com